Friday, October 23, 2009

Perkahwinan usia remaja

Oleh Nur Azzureen Nor Hisham
bhsastera@nstp.com.my

Tanpa teduh dugaan melanda akibat tiada restu ibu

SYURGA Di Hati menghanyutkan pembaca dengan tren remaja kini yang cenderung melayari bahtera perkahwinan pada usia muda dalam usaha membuktikan keutuhan cinta mereka meskipun sedia maklum terlalu banyak liku yang terpaksa disedari.

Fatin Nabila selaku pengarang novel ini menampilkan Erin, anak bongsu daripada keluarga berada buat pertama kali dalam hidupnya jatuh hati pada pemuda yatim piatu dan rakan sekolejnya, Ariff, meskipun sedar ibunya, sudah merancang jodohnya dengan Shakir.

Erin ditampilkan sebagai gadis tidak bersopan pada pertemuan pertama hingga menyebabkan Ariff berdendam dengannya dan pertemuan berulang kerana kebetulan pemuda itu juga teman rapat datuk Erin yang sering dikunjunginya kerana menumpang kasih.

Ariff yang sering mengisi masa lapangnya dengan berkunjung ke rumah atuk, juga sering berjoging dan memancing bersama-sama, manakala Erin pula kerap mengunjungi atuk dan neneknya dengan niat menemani mereka, selain ‘mencuri’ kesempatan untuk bertemu Ariff.

Masa yang terlalu banyak diluangkan bersama-sama, menerbitkan rasa kasih di hati masing-masing sehingga jiwa remaja mereka menafikan kepentingan darjat dan usia dalam melayari bahtera perkahwinan.

Penulis mendalami perasaan sebenar perasaan kedua-dua pasangan muda yang sedang bercinta sehingga rasa pedih, sakit, gembira, sayu, kelakar dan pengorbanan berjaya dilakar dengan sempurna.

Seperti biasa, hidup tanpa cabaran tiada serinya dan setiap langkah perjalanan pasti ada saja dugaan yang mendatang, tetapi senyuman yang terukir mustahil berseri, jika onak ranjau tidak berjaya diatasi dengan sempurna.

Perkahwinan Erin dan Ariff ditentang sepenuhnya oleh ibu gadis itu kerana mahu memegang janjinya untuk berbesan dengan teman baiknya mengakibatkan derita melanda bahtera pasangan muda terbabit.

Ibunya tetap berkeras agar Shakir dan Erin disatukan meskipun selepas Erin bernikah dengan Ariff, kerana bagi wanita itu dirinya terlalu matang untuk membezakan antara kaca dengan permata, sehingga enggan membuka ruang dalam dirinya bagi mengenali hati budi menantunya itu.

Pelbagai cemuhan dilontar ibu Erin dan Ariff hanya mampu bersabar kerana sedar dirinya tiada kemampuan memberi kemewahan kepada seorang puteri bongsu dan hanya kasih sayang serta cintanya menjadi taruhan. ‘

Bagaimanapun, kesabaran dan ego Arif sebagai lelaki tercabar dan bisikan syaitan mula menguasai diri sehingga minda gagal dikawal dek perasaan yang membuak-buak, lalu rumah tangga mereka mula berantakan di samping krisis demi krisis berlaku hanya kerana perkara remeh.

Pengarang menimbulkan kegelisahan pembaca dengan tindakan Ariff menghilangkan diri berbulan-bulan tanpa meninggalkan pesan sehingga mendera dirinya dan juga isteri yang sedang berbadan dua.

Erin yang berbadan dua benar-benar memerlukan sokongan daripada suami, lebih-lebih lagi dengan pengalaman pertama untuk bergelar ibu, tetapi ibarat mengharapkan hujan pada musim kemarau, Ariff tetap tidak muncul dalam hidupnya.

Pembaca pasti terkejut apabila mengetahui rahsia di sebalik apa yang terjadi kepada Ariff, meskipun pada awalnya menganggap kisah novel ini sudah terlalu biasa, tetapi gaya penulisan pengarang pasti memegunkan.

Keseimbangan gaya penulisan yang memberi ruang kepada pembaca untuk menjiwai watak Erin yang kadang kala agak gila-gila di samping usaha pengarang menyelitkan beberapa unsur jenaka menjamin kepuasan selain bahasanya ringkas lagi mudah difahami.

INFO: Syurga Di Hati

· Pengarang: Fatin Nabila

· Tebal: 504 halaman

· Harga: RM19.90 senaskhah.

· Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd.

· Bintang: *** (tiga bintang)

*******artikel ni dah lama, dah basi. kuar dalam akhbar berita harian beberapa bulan yg lepas. entah knp berasa ingin menempeknya..suka dan amat berterima kasih pada pengulas novel ini.



No comments: